Showing posts with label semasa. Show all posts
Showing posts with label semasa. Show all posts

Friday, 2 November 2018

Berita Baik! Rakyat Malaysia Akan Dapat Bantuan Sara Hidup RM500 Hingga RM1,000 Dalam Bajet 2019.


Berita baik buat rakyat Malaysia apabila kerajaan akan meneruskan dan menambahbaik Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada golongan B40 dengan memberikan bantuan secara lebih bersasar.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang membentangkan Belanjawan 2019 pada petang Jumaat berkata, dianggarkan sebanyak 4.1 juta isi rumah akan terus menerima bantuan kewangan daripada kerajaan dengan peruntukan RM5 bilion, lapor mStar Online hari ini.

Beliau berkata, isi rumah berpendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah akan menerima bantuan berjumlah RM1,000.

"Isi rumah berpendapatan bulanan dari RM2,001 hingga RM3,000 ke bawah akan menerima bantuan berjumlah RM750.

"Isi rumah berpendapatan bulanan dari RM3,001 hingga RM4,000 akan menerima bantuan berjumlah RM500," katanya di Dewan Rakyat di Parlimen, Kuala Lumpur.

Guan Eng berkata, kerajaan juga akan memperkenalkan kadar tambahan BSH sebanyak RM120 untuk setiap anak berumur 18 tahun ke bawah terhad kepada empat orang, kecuali anak orang kurang upaya (OKU) yang tidak dihadkan umur mereka.

BSH bagi menggantikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diperkenalkan oleh kerajaan terdahulu di bawah Barisan Nasional (BN) sejak 2012.

BR1M yang terakhir pada tahun ini membabitkan kira-kira tujuh juta pe­nerima menikmati pemberian kerajaan de­ngan kadar maksimum sehingga RM1,200.

Belanjawan 2019 bertemakan 'Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera' merupakan yang pertama dibentangkan oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Loading...

Sunday, 9 September 2018

Kopi Viral Dicampur Dengan Serbuk Bateri Terpakai Serta Abu Batu-Bata.


DAK NONG: Syarikat pengeluar kopi di wilayah Dak Nong, Vietnam diserbu pihak berkuasa susulan didakwa menghasilkan serbuk kopi daripada bahan berbahaya seperti bateri terpakai, sampah sarap dan abu batu-bata.


Portal berita Tuoi Tre melaporkan polis dan jabatan keselamatan makanan melakukan serbuan ke kilang pemprosesan kopi terbabit awal minggu ini selepas menerima laporan daripada penduduk setempat.

Turut dirampas dalam serbuan itu ialah 35 kg serbuk hitam yang dipercayai daripada bateri terpakai, selain cecair hitam seberat 10 kg. Pemilik memberitahu kesemua material itu dicampur dengan biji kopi yang tidak digunakan kilang-kilang besar untuk diproses bersama dan dikeluarkan sebagai satu jenama kopi. Jenama itu bagaimanapun tidak didedahkan.

Pemilik perusahaan itu, Nguyen Thi Loan, apabila disoalsiasat oleh polis, mengaku bahawa dia membeli kulit dan bijian kopi dari tempat lain pada harga diskaun. Kilangnya akan mencampurkan bahan itu dengan material lain seperti abu batu dan tanah, sebelum mewarnakan produk itu dengan warna hitam yang diperoleh daripada kandungan dalam bateri.

Kilang yang dimiliki sekeluarga itu telah beroperasi bertahun lamanya, dan tahun ini sahaja, ia telah berjaya menjual lebih 3 tan kopi.


Seorang profesor di Vietnam National University memaklumkan bahan hitam yang didapati daripada bateri itu adalah bahan kimia toksik yang dipanggil mangan dioksida.

Mangan dioksida adalah sebatian oksidan, dan sejumlah 0.5 miligram yang dicampur dalam satu liter air sudah cukup untuk menyebabkan keracunan pada manusia.

Keracunan akan menyebabkan halusinasi sebelum merosakkan organ seperti otak dan buah pinggang dan seterusnya membawa kepada kematian.



Loading...

Friday, 7 September 2018

Gara-gara Milo Ais RM3.20, Peniaga Didenda RM30,000.


KOTA KINABALU: Seorang pemilik restoran didenda RM30,000 atau enam bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan menjual milo ais pada harga tidak munasabah.

Difahamkan, ia kes pertama seumpamanya yang melalui perbicaraan penuh mahkamah di negara ini.

Hakim Egusra Ali menjatuhkan hukuman itu terhadap Shihan Mohd Salim, 28, pemilik premis Anak Mami The Restaurant 3 di sini, selepas mahkamah memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie ke atasnya.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 21(5) Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 kerana gagal mematuhi arahan pihak berkuasa yang dikeluarkan mengikut Seksyen 21(2) Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 untuk melengkapkan maklumat serta mengemukakan resit jualan antara Januari 2015 sehingga Mac 2016 bagi minuman milo ais.

Selain itu, tertuduh tidak dapat menunjukkan invois belian bagi produk milo, susu dan ais selain tanda harga minuman berkenaan bagi tempoh sama dalam masa tujuh hari bekerja bermula 9 Mei 2016.

Tertuduh yang diwakili peguam PJ Pereira, kali pertama didakwa di mahkamah pada 24 Oktober 2016.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Geoffery Gumalang dan Azmil Aspara.

Sementara itu, Timbalan Pengarah KPDNHEP Sabah dalam sidang media berkata, peniaga berkenaan didapati menjual milo ais di premisnya dengan harga RM3.20 segelas dan harga itu dirasakan agak mahal oleh pengguna sebelum aduan dibuat pada 7 Mac 2016.

Sehubungan itu, beliau berharap peniaga atau pemilik premis makanan mengambil iktibar daripada kes terbabit dan tidak meletakkan harga terlalu tinggi bagi setiap hidangan yang dijual.

“Saya juga menasihatkan pengguna supaya melaporkan terus kepada KPDNHEP jika ada sebarang keraguan berkaitan harga barangan yang dibeli termasuk makanan serta minuman,” katanya. - BH Online

Wednesday, 29 August 2018

Cukai Kad Kredit Dikenakan Semula Bermula 1 September.


Pengguna dikenakan bayaran sebanyak RM25 pada 1 September ini ke atas kad kredit atau caj kad.

Menurut kastam, tempoh efektif kad sedia ada tidak akan dikenakan cukai perkhidmatan sebanyak RM25 sehingga pembaharuan kad dibuat pada tahunan akan datang.

Semasa pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), pemegang kad kredit tidak perlu membayar cukai perkhidmatan RM50.

Pada tahun sebelum perlaksanaan GST, pengguna kad kredit dan caj kad dikenakan cukai perkhidmatan RM50 terhadap pemegang kad utama dan RM25 bagi setiap kad tambahan.
Pada 1 September ini, cukai ini akan dikenakan semula kepada kesemua pemegang kad kredit.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata rang undang-undang SST akan diluluskan pada persidangan Dewan Rakyat dan akan dilaksanakan pada September.

Guan Eng berkata peruntukan untuk perkhidmatan ditetapkan pada kadar enam peratus selepas pengenalan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

“SST akan diperkenalkan semula pada 1 Sept, dan ia akan menyumbang sasaran hasil sebanyak RM4 bilion (kepada Kerajaan) ,”katanya pada pelancaran Persidangan Percukaian Kebangsaan 2018.

Loading...

Friday, 10 August 2018

Mahkamah Tolak Permohonan Najib.

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meninggalkan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas keputusan pendengaran permohonan mendapatkan perintah larangan bagi menghalang media dan orang ramai daripada membicarakan merit kes pecah amanah dan menyalahgunakan kedudukan yang dihadapinya. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, gagal dalam permohonannya untuk mendapatkan perintah larangan bagi menghalang media dan orang ramai daripada membicarakan merit kes pecah amanah dan menyalahgunakan kedudukan yang dihadapinya.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan terbabit selepas berpuas hati bahawa permohonan itu tidak wajar.

“Walaupun mahkamah mungkin mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan perintah larangan itu, dalam kes ini perlu ditentukan sama ada terdapat risiko prejudis terhadap perbicaraan yang adil dan proses keadilan.

“Dan oleh itu, kesimpulan yang dapat saya buat ialah permohonan ini tidak berjaya kerana undang-undang penghinaan mahkamah dan fitnah sedia ada sudah cukup untuk mengendalikan risiko prejudis atau campur tangan dalam sistem keadilan jenayah,” katanya.

Beliau memutuskan bahawa sekatan tambahan kepada undang-undang menghina mahkamah hanya boleh diberikan di dalam kes tertentu saja yang mana risiko berlakunya prejudis adalah sangat tinggi dan jelas.

“Jika terma tertentu di dalam permohonan hari ini dibenarkan, ia akan menceroboh hak kebebasan bersuara mengikut Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh itu saya menolak permohonan ini,” katanya.

Sementara itu peguam, Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.

Mahkamah Tinggi sebelum ini membenarkan perintah larangan sementara yang dikemukakan Muhammad Shafee.

Beliau membuat permohonan itu atas alasan untuk mengelakkan kenyataan yang tidak adil terhadap anak guamnya. - BH Online

Thursday, 2 August 2018

ADUN Seri Setia, Dr Shaharuddin Badaruddin Meninggal Dunia.


Anggota Dewan Undangan Negeri Seri (ADUN) Setia Dr Shaharuddin Badaruddin meninggal dunia sebentar tadi.

Setiausaha Kanannya Zafrullah Aris berkata allahyarham telah menghembuskan nafas terakhir pada jam 6:28 petang tadi di Hospital Putrajaya.

Zafrullah berkata, jenazah exco kerajaan Selangor itu akan dibawa pulang ke rumah di Desa Pinggiran Putra dan urusan pengebumian akan dilakukan esok.

“Semoga almarhum ditempatkan bersama orang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah,” kata Zafrullah.

Sebuah akhbar Cina kelmarin melaporkan Shaharuddin menghidap barah kolon.

Susulan kematian itu, pilihan raya kecil harus diadakan di kawasan itu.

Pada pilihan raya umum ke-14, Shahruddin menang besar dengan mendapat 29,250 undi.

Beliau mengalahkan calon BN Yusoff M Haniff yang memperoleh 9,878 undi, calon PAS dengan 4,563 undi dan calon bebas S Vigneswaran dengan 217 undi.

Sumber

Saturday, 28 July 2018

Pelajar Berjaya Loloskan Diri Dari Penculik Van Putih.


Seorang pelajar perempuan di SMK Taman Universiti 2 di Skudai, Johor, mendakwa dirinya hampir diculik oleh individu yang tidak dikenali, namun berjaya meloloskan diri, lapor Oriental Daily.

Dalam kejadian pada 26 Julai 2018, Khamis, remaja terbabit dalam perjalanan pulang ke rumah selepas tamat sesi persekolahan sebelum dihampiri sebuah van berwarna putih dan keluar seorang lelaki cuba menangkap dan memaksanya masuk ke dalam van.

Mangsa bagaimanapun berjaya meloloskan dirinya dan dalam pada itu juga, dia ternampak seorang perempuan kelihatan tidak sedarkan diri dalam kenderaan itu.

Mangsa segera berlari masuk ke sekolahnya semula dan memaklumkan kejadian itu kepada pihak sekolah sebelum membuat laporan polis.

Timbalan Ketua Polis Johor Bahru Utara, Superintendan Beh Eng Lai mengesahkan pihaknya menerima laporan berkenaan.

Berdasarkan laporan yang dibuat oleh mangsa, suspek yang memandu van berwarna putih telah menghampirinya dan keluar seorang lelaki warga asing cuba menangkap mangsa, tetapi gagal.

Difahamkan, modus operandi suspek adalah menyasarkan golongan pelajar yang baru pulang selepas tamat sesi persekolahan.

Menurut laporan itu lagi, van yang digunakan suspek warga asing itu tidak menggunakan sebarang nombor pendaftaran, selain terdapat bau minyak tanah yang datang dari dalam kenderaan itu.

Polis kini sedang menyiasat kejadian itu di bawah Seksyen 363 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan.

Sumber

Wednesday, 25 July 2018

Anggota Bomba Tak Sangka Anak Sendiri Rentung.


KUCHING: Luluh hati seorang bapa apabila menerima panggilan rakan setugasnya yang memaklumkan anak perempuannya terkorban dalam kebakaran di kuaters kediaman guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Bungan, Mulu, pagi tadi.

Pegawai Bomba Kanan II Tiwi Nios, 53, berkata sepanjang tempoh perkhidmatannya, hampir setiap hari beliau menerima panggilan kecemasan terutamanya membabitkan kebakaran.

Namun, panggilan dari pegawai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi, kira-kira jam 6 pagi tadi, hampir menyentap semangatnya.

“Saya tergamam seketika apabila diberitahu anak perempuan saya, Catherine Janet, yang terkorban dalam kejadian itu.

“Pada mulanya saya seolah-olah tidak percaya dengan apa yang saya dengar, namun akhirnya saya menerima hakikat kerana selama ini saya sering melihat kejadian serupa dan tidak sangka ia berlaku terhadap anak saya pula,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Gambar yang diambil pada siang sebelum kejadian. Catherine (Paling Kiri)

Sebaik sahaja menerima maklumat itu, Tiwi yang bertugas di BBP Bau berusaha mendapatkan tiket penerbangan ke Miri untuk melihat sendiri keadaan anaknya yang rentung dalam kejadian itu.

Beliau berkata, Catherine, 25, anak keduanya itu adalah satu-satunya perempuan dari empat beradik.

“Anak saya itu baru sahaja balik semula ke sekolah tempatnya bertugas pada Jumaat lalu selepas beliau menyelesaikan urusan untuk menyambung pengajian pada peringkat Sarjana di Kota Samarahan.

“Sebelum balik ke Miri, beliau cukup ceria namun tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap,” katanya sambil memaklumkan anaknya itu baru dua tahun bertugas sebagai guru.

Catherine Janet Tiwi, 25, terkorban selepas terperangkap ketika cuba menyelamatkan rakan serumahnya.

Katanya, sebagai anak perempuan tunggal, Catherine memang cukup rapat serta manja dengan ibunya dan kira-kira jam 6 petang semalam, beliau menghubungi ibunya itu untuk bertanya khabar.

“Isteri saya kata, sepanjang perbualan mereka, Catherine kedengarannya cukup ceria dan bergurau dengan ibunya. Tak sangka, itulah perbualan terakhir mereka,” katanya.

Terperangkap ketika cuba menyelamatkan rakan serumah

Guru yang terkorban Catherine Janet Tiwi, 25 difahamkan terperangkap ketika cuba menyelamatkan rakan serumahnya.

Kakak kepada mangsa kebakaran yang terselamat Syuhadah Azhari.

Kakak kepada Syuhadah Azhari, 27, yang turut melecur 20 peratus di bahagian muka dan badan itu tersentuh apabila dimaklumkan mendiang terperangkap ketika cuba menyelamatkan adiknya itu.

“Mendiang pada awalnya sudah selamat keluar tetapi masuk semula untuk menyelamatkan adik, mengakibatkan dia yang terkorban,” katanya melalui catatan di laman Facebook (FB) miliknya.

Katanya, Catherine adalah rakan serumah adiknya yang amat baik.

“Adik selalu sering bercerita kebaikan mendiang Catherine kepada saya.

“Jasa Catherine akan kami kenang sampai bila-bila, tenanglah Catherine di sana,” katanya.

Saturday, 14 July 2018

(Video) Pelajar Maut Ditolak Ketika Latihan Menyelamat.


Polis menahan seorang pelatih didakwa menolak seorang pelajar universiti berusia 19 tahun dari tingkat dua sebuah bangunan hingga meragut nyawa mangsa ketika sesi latihan berlangsung, semalam.

Kumpulan pelajar yang berada di tempat kejadian turut terkejut melihat keadaan rakan mereka selepas ditolak secara tiba-tiba.

Rakaman insiden menggemparkan itu juga menjadi tular di media sosial dan telah mencetuskan kemarahan banyak pihak.

"Kami sedang menyiasat pihak yang menganjurkan latihan itu dan pelatih terbabit sudah diberkas.

Tindakannya telah menyebabkan mangsa cedera parah pada kepala dan leher. Pelatih terbabit didakwa menyebabkan kematian akibat kecuaian," kata jurucakap polis di bandar Coimbatore, India.

Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMA) yang melakukan latihan bencana seluruh India memaklumkan mereka tidak menganjurkan atau mengatur acara itu.

"Pelatih tersebut tidak diberi kuasa oleh kami untuk mengendalikan latihan seumpama itu," kata agensi itu menerusi Twitter.

Wednesday, 21 March 2018

Suami Tolong Kahwinkan Isterinya Dengan Kekasih.


SEORANG lelaki yang baru berkahwin selama enam hari telah membantu isterinya untuk berkahwin dengan kekasih lamanya supaya ketiga-tiga mereka dapat hidup bahagia bersama.

Pada 4 Mac, Basudep Tappo, 28, yang berasal dari desa Palmara, Odisha, India, berkahwin dengan seorang wanita berusia 24 tahun dari sebuah kampung di Jharsuguda, yang diatur oleh keluarga kedua-dua pihak.

Perkahwinan mereka dibuat mengikut tradisi masyarakat petani tempatan yang diamalkan keluarga Tappo.

Walaupun tidak ada surat pengesahan yang ditandatangani, mereka menerima restu masyarakat untuk menjadi pasangan suami isteri.

Semuanya berjalan lancar untuk enam hari, sehinggalah tiga lelaki dari kampung halaman pengantin perempuan datang melawat dan situasi berubah.

Tiga lelaki itu, salah seorang daripadanya mendakwa sebagai sepupu wanita berkenaan, disambut baik oleh Tappo.

Pada satu ketika, dua daripada lelaki itu meninggalkan rumah untuk melawat sekitar kampung, sementara lelaki yang mendakwa sepupu wanita tersebut tinggal berdua-duaan dengan wanita berkenaan.

Malang bagi mereka, jiran-jiran tidak dapat menerima apabila seorang lelaki asing bersekedudukan dengan wanita yang baru berkahwin, sehingga mereka masuk ke rumah dan memukul lelaki terbabit.

Melihat lelaki itu dibelasah, wanita itu mengaku bahawa lelaki itu sebenarnya kekasih lamanya yang hubungan mereka tidak direstui keluarganya.

Walaupun membantah, dia tetap dikahwinkan dengan Tappo menyebabkan kedua-dua mereka tidak mempunyai pilihan selain meneruskan cinta mereka secara rahsia.

Pengakuan seperti itu biasanya akan membawa akibat yang tragis di banyak bahagian di pedalaman India, yang ia dianggap sebagai dosa, tetapi setelah mendengar penjelasan isterinya, Tappo muncul dengan penyelesaian yang agak aneh.

Dia mencadangkan agar wanita itu berkahwin dengan kekasihnya.

Lelaki itu kemudian menghubungi adik dan kakak isterinya untuk memberitahu mereka tentang rancangan itu dan mendapatkan persetujuan mereka.

Setelah diselesaikan, mereka mengadakan perkahwinan tradisional kedua, melibatkan isteri dan kekasih lamanya, yang juga mendapat restu masyarakat.

“Tiga kehidupan akan musnah sekiranya saya tidak melakukan ini. Inilah satu-satunya penyelesaian. Sekarang kita semua boleh gembira,” kata Tappo.

Ibu Tappo, Sanibari Tappo, memuji kebijaksanaannya, memberitahu Times of India bahawa anak lelakinya telah membuat keputusan terbaik, dalam keadaan tertentu.

“Kehidupan kami akan menjadi lebih rumit jika penyelesaian ini tidak dicapai. Kami tidak akan melupakan pengorbanannya,” katanya.

“Bila kami tahu keputusan Basudep, kami merasakan ia adalah perkara yang paling sesuai untuk dilakukan dalam keadaan sedemikian. Jadi seluruh kampung datang untuk menyokong perkahwinan kedua isterinya,” kata ketua kampung Pamara, Gajendra Bagh.

Thursday, 15 March 2018

Anak Watan Terengganu Terima Sebidang Tanah Setiap Orang?


Kerajaan negeri sedia mempertimbang untuk membo­lehkan anak watan negeri ini yang berusia 40 tahun ke bawah memiliki tanah dengan setiap seorang mendapat seluas satu ekar (0.4 hektar).

Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman ketika mengumumkan khabar gembira itu berkata, usaha itu dibuat sebagai salah satu transformasi ekonomi kerajaan negeri bagi memanfaatkan tanah semaksimum yang boleh.

Pada masa sama, jelasnya, langkah itu juga dapat membantu golongan muda di Terengganu yang masih belum mempunyai tanah untuk dijadikan aset selain memberi peluang pekerjaan kepada golo­ngan tersebut.

Sehubungan itu, kata Ahmad Razif, beliau mengarahkan semua pentadbir tanah di setiap daerah agar mengenal pasti tanah yang berpotensi dimajukan sebelum diagihkan kepada golongan muda.

Sebagai permulaan, beliau menjelaskan, sebahagian daripada sejumlah 157 hektar tanah di Kampung Binjai Kertas dan Kampung Nasi Dingin dekat sini akan diagihkan kepada golongan muda di kawasan berkenaan.

“Pada masa ini, daripada keseluruhan tanah itu, 101 ekar (40.9 hektar) diusahakan oleh pihak RISDA Plantation manakala bakinya akan diagihkan kepada golongan muda di dua kampung berkenaan,” katanya.

Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas menghadiri program Rancangan Khas Binjai Kertas-Nasi Dingin (RKBKND) di Kampung Binjai Kertas dekat sini hari ini.


Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Datuk Tengku Putera Tengku Awang; Exco Kerajaan negeri yang juga ADUN Telemong, Datuk Rozi Mamat; Pegawai Pembangunan DUN Manir, Yusof Awang Hitam dan Pengurus RISDA Plantation Terengganu, Mohd. Yusof Baijuri.

Ahmad Razif berkata, sebelum tanah itu diberi, mereka terlibat perlu mempunyai kesanggupan yang tinggi untuk mengusahakannya termasuk menjalankan aktiviti ekonomi yang mampu memberi pulangan menguntungkan.

“Mereka kena ada kesanggupan dan keinginan, paling mustahak mereka perlu ada kesanggupan yang tinggi untuk mengusahakan tanah masing-masing seperti membangunkan projek pertanian dan sebagainya,” ujarnya. - UTUSAN

Friday, 9 March 2018

Saya Lebih Rela Makan Babi - Dr Ridhuan Tee.


Penceramah bebas terkenal, Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah menegur pengurusan masjid yang segera menukar permaidani selepas dimasuki babi hutan dua hari lalu.

Menurutnya, tindakan itu tidak langsung menggambarkan bahawa agama Islam itu agama yang mudah sebaliknya sebagai agama yang menyusahkan penganutnya.

"Saya merasa amat pelik dengan cara kita memahami Islam, agama begitu luas menjadi begitu sempit. Babi dilihat sebagai bukan makhluk ciptaan Allah.

"Bayangkan apabila orang bukan Islam membaca berita itu, pasti mereka berkata susah sungguh Islam ini. Padahal ia adalah agama yang mudah," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Beliau yang bertugas sebagai pensyarah di Universiti Islam Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mengulas kejadian seekor babi hutan yang memasuki masjid Sungai Plong di Sungai Buloh ketika jemaah sedang menunggu waktu Isyak.

Ekoran daripada kejadian itu, masjid melupuskan permaidani lama dan menggantikan dengan baru yang menelan belanja sehingga RM34,000.

Ridhuan berkata, ada kaedah yang lebih mudah bagi menyucikan najis babi dan malah boleh merujuk kepada mazhab yang lain.


"Lebih baik jika jumlah itu digunakan untuk menderma kepada rakyat Syria dan Palestin, atau mereka yang lebih memerlukan termasuk di kalangan orang bukan Islam.

"Tidakkah ia lebih memberi kebaikan kepada dakwah?" soal Ridhuan.

Kejadian itu, kata Ridhuan lagi, menunjukkan masalah segelintir umat Islam dalam soal meletakkan keutamaan.

Sebagai contoh, beliau membandingkan status haram bagi babi dan kesalahan rasuah yang baginya jauh lebih memudaratkan.

"Kenapa sanggup berhabis sebanyak RM34 ribu hanya kerana seekor babi? Permaidani itu pula masih boleh digunakan.

"Haramnya babi, ia tidak seberat haramnya rasuah. Jika terpaksa memilih antara babi dan rasuah, saya lebih rela makan babi," katanya lagi.

Sumber

Tuesday, 6 March 2018

Suami Ziana Zain Didakwa Di Mahkamah Kerana Cederakan Anak.


Portal atas talian Utusan hari ini melaporkan suami kepada penyanyi terkenal Ziana Zain iaitu Armin Zaharin Ahmad Zambri didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam atas tuduhan mencederakan anak lelakinya sehingga luka dan lebam menggunakan sebatan rotan pada 25 Februari lalu. Laporan polis dibuat sendiri oleh Ziana pada 27 Februari lalu sebelum suaminya ditahan polis untuk siasatan lanjut.

Walaubagaimanapun, Armin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut dan memberitahu tujuan beliau merotan adalah untuk mengajar anaknya itu mengaji dan solat tetapi anaknya tidak faham.Tindakannya itu atas dasar tanggjungjawabnya sebagai seorang bapa.

Armin didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau dari mana-mana dua darinya. Majistret menetapkan wang jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan kes pada 4 April nanti.


Ziana dan Armin yang merupakan bekas pramugara Kanan Penerbangan Malaysia mendirikan rumah tangga pada 9 Mei 1998. Hasil perkahwinan mereka dikurniakan empat orang cahaya mata, Muhammad Aiman, 18 , Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9.

Sumber

Sunday, 25 February 2018

Simen Mayat Kekasih Dalam Tab Mandi.


Seorang wanita yang merupakan pekerja pusat karaoke ditemui mati, dipercayai diper#kosa dan dibunuh oleh kekasihnya sendiri sebelum mayatnya di simen dalam tab mandi dalam kejadian yang berlaku pada Jumaat lalu di Desa Puguh, Jawa Tengah.

Menurut sumber berita, pihak polis yang menyedari keberadaan mayat wanita malang yang dikenali sebagai Fitri itu, bermula dari rumah suspek yang di periksa bagi mencari barang bukti atas satu kes rompakan.

Melihat tompokan simen yang mencurigakan di dalam tab mandi, pihak polis membongkarnya untuk tujuan mencari barang bukti, namun situasi menjadi kecoh apabila pihak polis menemukan mayat seorang wanita separuh bo#gel di simen dalam tab mandi berkenaan.

Polres Kendal Ajun Komisaris Polisi (AKP) Aris Munandar mengatakan, mayat dipercayai dibunuh sejak seminggu lalu sebelum mayatnya di simen dalam tab mandi rumah suspek.

"Selama seminggu ini pihak keluarga mangsa itu juga cuba menghubunginya namun gagal, kami juga menerima laporan atas kehilangan mangsa," katanya.

Sementara itu menurut jiran suspek, dia melihat suspek membawa kekasihnya itu pada malam Jumaat lalu ke dalam rumah, dan tidak pernah dilihat sejak daripada itu.

Sehingga kini pihak polis masih lagi melakukan siasatan lanjut bagi mengetahui motif pembunuhan, sementara mayat mangsa di bawa ke hospital Bhayangkara Semarang untuk di bedah siasat.

Sumber

Friday, 9 February 2018

Sabah Dilanda Fenomena Cuaca Sejuk Hingga Mac.

Pengarah Metereologi Sabah, Azemi Daud

KOTA KINABALU: Sabah mengalami fenomena cuaca sejuk apabila beberapa daerah mencatatkan suhu sejuk antara 15 hingga 21 darjah selsius di antara jam 5 hingga 7 pagi.

Menurut Pengarah Metereologi Sabah, Azemi Daud, Februari adalah antara bulan paling sejuk di Malaysia termasuk di Sabah ekoran Monsun Timur Laut yang dijangka berakhir pada Mac 2017.

Beliau turut memaklumkan pejabat meteorologi di Ranau mencatat suhu terendah iaitu 15 darjah selsius, diikuti Keningau 16 darjah selsius, Kudat 20 darjah selsius, manakala Kota Kinabalu dengan suhu 21 darjah selsius untuk hari ini.

Katanya, antara punca utama penurunan suhu adalah disebabkan oleh tiupan angin sejuk bertekanan tinggi yang datang dari Siberia merentasi negara rantau Asia Tenggara termasuk Sabah.

“Selain itu, faktor kedudukan geografi dan fenomena lain seperti fenomena penyejukan bumi biasa pada tahap maksimum berlaku semasa cuaca baik atau kurangnya awan terbentuk pada waktu malam menyumbang kepada keadaan ini.

“Pejabat Meteorologi Sabah juga akan terus memantau keadaan cuaca ini,” katanya ketika ditemui dipejabatnya pada Rabu. /PENERANGAN

Sunday, 4 February 2018

JAKIM Perlu Dihapuskan Secepat Mungkin Demi Kesejahteraan Negara - Siti Kasim


Kuala Lumpur: Peguam pejuang hak golongan LGBT, Siti Kasim mendesak agar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dihapuskan secepat mungkin demi kesejahteraan negara.

Aktivis Perhimpunan BERSIH tersebut menghebahkan keinginannya itu setelah teruja dengan tuduhan Tengku Razaleigh Hamzah di sebuah forum anjuran kumpulan Melayu ulung G25 bahawa kononnya JAKIM sebagai “tidak berperlembagaan”.

Beliau berkata, “Oleh sedemikian, mari hapuskan organisasi tersebut secepat mungkin. Malaysia akan lebih baik sepertimana kita bermula kali pertama dahulu.

Dana 1 bilion yang diberikan kepada JAKIM boleh digunakan untuk kesihatan kita, pendidikan dan infrastruktur untuk mensejahterakan negara ini.”

“Bubarkan JAKIM,” desak Siti Kasim lagi.


Peguam Saha Deva yang dianggap oleh Siti Kasim sebagai gurunya juga meluahkan perasaan teruja beliau kerana dapat merasakan peluang yang ditunggu-tunggu oleh Siti Kasim untuk mencabar JAKIM di mahkamah telah pun hampir tiba.


“Kita tunggu langkah selanjutnya. Melayu-Melayu yang sedang senyap sedang meluat dengan tindakan mereka memaksa kita,” balas Siti Kasim.

Mantan Timbalan Pengerusi BERSIH merangkap sahabat Siti Kasim, Sarajun Hoda Abdul Hassan juga pernah membuat gesaan yang sama tidak berapa lama dahulu agar JAKIM dapat dihapuskan dan dimansuhkan.

Desak penerima Pingat Kelakuan Terpuji Pulau Pinang (P.K.T.) tersebut, “JAKIM menjadikan Islam bahan jenaka, ia sepatutnya dihapuskan dan dimansuhkan.

Mereka menjadikan kehidupan orang Islam sengsara dengan pengawasan moral yang tidak ada di dalam al-Qur’an.”

Sarajun Hoda juga pernah menuduh “pegawai-pegawai agama” menyara keluarga mereka dengan wang ‘haram’ di samping mendakwa umat Islam Malaysia bakal mati kebuluran sekiranya sumber rezeki mereka diasingkan antara halal dan haram.


Tuduh beliau, “90% peruntukan JAKIM datang daripada wang cukai kaum Cina pemakan babi. Pegawai-pegawai agama mendapat wang gaji daripada sumber ‘haram’ yang sama untuk memberi keluarga mereka makan.”

“Jika diasingkan sumber halal dan haram … orang Islam Malaysia akan mati kebuluran,” dakwanya lagi.

Sumber

Saturday, 3 February 2018

Gara-gara Conteng Muka, Guru Maut Ditumbuk Pelajar.

Guru SMAN 1 Torjun, Sampang, Ahmad Budi Cahyono yang tewas di tangan muridnya.

Jakarta: Seorang guru sekolah menengah di Torjun, Madura, Jawa Timur, meninggal dunia beberapa jam selepas ditumbuk pelajarnya ketika pembelajaran seni di sekolah, kelmarin.

Menurut laporan media Indonesia, kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu berlaku selepas guru berkenaan, Budi Cahyono, menconteng pipi pelajar lelaki itu yang tidur dalam kelas dengan pewarna lukisan bagi mengejutkannya.

Pelajar itu yang dikatakan marah sebaik terjaga, menumbuk pipi guru terbabit, namun pertelingkahan mereka dileraikan pelajar lain.

Menurut Detik News, pertelingkahan itu dileraikan pelajar serta guru lain dan pengetua kemudian mengarahkan pelajar terbabit pulang.

Pengetua Sekolah SMA Negeri I Torjun Sampang, Amat, berkata, ketika guru berkenaan memberitahunya mengenai kejadian itu, Budi kelihatan sihat tanpa sebarang kecederaan.

Namun, keluarga guru berkenaan kemudian menghubungi pengetua menyatakan Budi dimasukkan ke Hospital Dr Seotomo di Surabaya, kerana tidak boleh tidur selepas mengadu sakit leher sebelum tidak sedarkan diri.

Difahamkan, pemeriksaan doktor mendapati guru berkenaan mengalami kecederaan dalaman pada lehernya menyebabkan otaknya tidak boleh berfungsi yang membawa kepada kematiannya kira-kira 7.40 malam.

Menurut laporan Antara, Ketua Polis Torjun, Budi Wardiman, berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut mengenai kejadian itu. - Agensi

Wednesday, 17 January 2018

Ketua Pejabat JPN Cawangan Telupid Dipenjara 18 Bulan Dan Denda Kerana Rasuah.


SANDAKAN: Seorang pembantu pendaftaran di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dihukum penjara 18 bulan dan denda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas didapati bersalah menerima suapan sebanyak RM5,000, tujuh tahun lalu.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, dalam kenyataan hari ini, berkata Hakim Datuk Ishak Bakri memutuskan keputusan itu terhadap Edwin Ajin, 44, serta memerintahkan hukuman penjara enam bulan lagi jika gagal membayar denda.

Edwin, yang bertugas sebagai Ketua Pejabat JPN Telupid ketika kesalahan dilakukan, didapati bersalah dan disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Norsham Saharom bertindak sebagai Pegawai Pendakwa, manakala Edwin diwakili peguam, Dennis Rantau.

Mahkamah turut menetapkan jaminan RM10,000 terhadap Edwin dengan seorang penjamin tempatan dan membenarkan penangguhan hukuman sementara menunggu tertuduh memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi.

Seramai 16 saksi dipanggil sepanjang perbicaraan dengan sebutan pertama kes pada 3 April 2013.

Mengikut kertas pertuduhan, Edwin didakwa memperoleh suapan itu daripada Jamail Sungah melalui Catherine @ Sarimah Enggoh di Hotel Paris Inn, Jalan Leboh 3, Sandakan, jam 11.30 pagi, 26 Okt 2010.

Suapan tersebut adalah sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap Jamail atas kesalahan memiliki kad pengenalan palsu dan James Kosou yang dikatakan terbabit dalam pengesahan dokumen palsu itu. -BERNAMA

Sunday, 14 January 2018

Tiga Gadis Buat Laporan Polis Selepas Terkejut Dada Dipenuhi 'Cecair Putih' Semasa Tidur.


KAJANG: Tiga orang wanita yang mendakwa telah menjadi mangsa r0g0l di sebuah rumah di Taman Penaga, mencetuskan tanda tanya berikutan berlaku tanpa disedari mangsa yang tidur.

Difahamkan, ketiga-tiga mangsa yang terjaga kira-kira jam 8 pagi terkejut apabila mendapati diri mereka dalam keadaan b0gel manakala dada dipenuhi cecair pekat keputihan dipercayai air mani.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, dua daripada mangsa yang berusia 20-an dikatakan tinggal bersendirian di rumah berkenaan dan tidak bertemu sesiapa malam sebelum kejadian.

“Mangsa sendiri tidak tahu punca ditinggalkan dalam keadaan b0gel begitu kerana pada malam kejadian, mereka mendakwa terus pulang ke rumah selepas tamat bekerja,” katanya.

Katanya lagi, mangsa memberitahu ketika terjaga, seluruh badan terasa sakit dan keletihan selain sakit kepala menyebabkannya terus ke klinik berhampiran mendapatkan rawatan.

Statistik kes r0g0l di seluruh negara menunjukkan seramai 16,287 remaja dan wanita menjadi mangsa r0g0l sejak tahun 2010 hingga 2016.

Menurut Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita, Kanak-Kanak(D11) Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Asisten Komisioner Ong Chin Lan, daripada jumlah tersebut, 80 peratus mangsa r0g0l tersebut dir0g0l oleh orang yang dikenalinya.

Loading...

Saturday, 23 December 2017

Pelarasan Gaji Penjawat Awam UAE Januari 2018.


Tuah penjawat awam di Emiriah Arab Bersatu (UAE). Ini kerana gaji penjawat awam di negara tersebut diselaraskan semula dengan kadar gaji paling minima ditetapkan sebanyak RM19,000, lapor media.

Berita gembira dan pengumuman luar biasa itu turut disiarkan menerusi stesen tempatan Sharjah TV semalam, diumumkan oleh Dr. Sheikh Sultan bin Mohammed Al Qasimi, Anggota Majlis Tertinggi dan Penguasa Sharjah.

Ia disahkan oleh Dr. Tariq Sultan bin Khadim, Ahli Majlis Eksekutif Sharjah dan Pengerusi Direktorat Sumber Manusia UAE.

Pihak kerajaan memperuntukkan tambahan 600 juta dirham (RM666 juta) bagi tujuan tersebut.

Pelarasan itu sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat dan kakitangan awam.

Kenaikan yang agak tinggi dan belum pernah terjadi sebelumnya dalam sejarah negara itu.

Pelarasan struktur gaji bermulai pada 1 Januari depan dan berdasarkan struktur baharu, kerajaan akan mempunyai lapan gred termasuk pewujudan Gred 8 yang baru ditetapkan sebagai paling rendah.

Penjawat dalam kumpulan berkenaan akan dibayar gaji minimum sebanyak 17,500 dirham (RM19,346) sebulan dan mereka pada kelaziman merupakan pekerja yang tidak tamat pengajian akademik peringkat sijil sekolah menengah.

Gred 7 ditetapkan untuk orang yang ada kelulusan sijil itu dengan gaji terendah 18,500 dirham (RM20,547) sebulan manakala bagi graduan universiti, mereka bermula Gred 4 dengan gaji asas 25,000 dirham (RM27,766) sebulan.

Menurut Tariq Sultan lagi, selain tumpuan kepada peningkatan taraf hidup penjawat awam, raja sangat berminat jika staf tidak dapat menamatkan pendidikan atau memperoleh sarjana mampu meneruskan pendidikan tinggi mereka.

Struktur Gred 1 ditetapkan 30,500 (RM33,875), Gred 2 pula 28,500 dirham (RM31,653), Gred 3 dengan 26,500 dirham (RM29,432) manakala Gred 5 ialah 21,500 dirham (RM23,879) dan Gred 6 ialah 19,500 dirham (RM21,657).

Struktur gaji bulanan baharu itu juga akan melibatkan semua pesara awam yang menerima bayaran pencen mereka daripada Penguasa Bahagian Pencen Am dan Keselamatan Sosial UAE.

Loading...