Showing posts with label politik. Show all posts
Showing posts with label politik. Show all posts

Sunday, 23 December 2018

Siapa Pilihan Azmin Sebagai Timbalan Jika Beliau Menjadi Perdana Menteri?


Di sebalik satu demi satu Ahli Parlimen UMNO bertindak keluar parti di mana sehingga ini jumlahnya sudah mencecah 16 orang, dalam waktu yang sama disahkan seramai 36 Ahli Parlimen BN juga telah menandatangani akujanji menyokong kepimpinan Tun Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

Perkara ini didedahkan oleh Ahli Parlimen Larut, Hamzah Zainuddin yang turut mengumumkan keluar daripada UMNO bersama lima yang lain.

Kata Hamzah yang merupakan bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, sokongan kepada Tun Mahathir itu bertujuan untuk memastikan kestabilan kerajaan dan bagi mengelakkan Parlimen digunakan untuk menjatuhkan Perdana Menteri.

Tidak sukar untuk memahami bahawa pihak yang dimaksudkan Hamzah yang dikatakan mungkin menggunakan Parlimen untuk menjatuhkan Tun Mahathir itu tidak lain tidak bukan ialah Anwar Ibrahim.

Anwar ketika ini berada dalam dua senario - pertama, sebagai pengganti yang sudah dipersetujui oleh Pakatan Harapan untuk mengambil alih kedudukan Tun Mahathir dalam tempoh kira-kira setahun setengah daripada sekarang dan kedua, beliau mungkin bekerjasama dengan Ahli Parlimen UMNO yang pro kepada Zahid Hamidi untuk melakukan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri.

Jika penantian suatu penyeksaan dan ternampak tanda-tanda Tun Mahathir enggan menyerahkan jawatan, pilihan bagi Anwar ialah mengusulkan undi tidak percaya di Parlimen bagi menyingkirkan Tun Mahathir.

Meskipun jika Ahli Parlimen PKR berpecah kerana kumpulan pro Azmin ketika ini dilihat sudah "jatuh cinta" kepada Tun Mahathir, tetapi dengan sokongan DAP dan Amanah, ditambah dengan kehadiran sokongan Ahli Parlimen UMNO serta daripada Sarawak, kebarangkalian untuk Anwar berjaya melakukan rampasan kuasa tidak boleh ditolak.

Tun Mahathir tampak menyedari hakikat ini dan sebab itu usaha menarik Ahli Parlimen UMNO melompat parti giat diusahakan, selain melalui akujanji sokongan terhadapnya yang melibatkan 36 Ahli Parlimen BN itu.

Bermakna, dalam diam-diam sekarang, wujud perlumbaan kuasa antara Tun Mahathir dan Anwar.

Dalam hal ini, yang menarik sekali ialah Hamzah sekali lagi muncul sebagai watak yang dipergunakan untuk menghalang kemaraan Anwar.

Pada tahun 1998 dahulu, sebelum Anwar dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO, Hamzah merupakan salah seorang yang memainkan peranan penting dalam episod tersebut.

Melalui rakaman perbualan Anwar mengorat isterinya yang disebar-luaskan waktu itu, ia telah dijadikan sandaran untuk menunjukkan buruknya perangai beliau sebagai bakal pemimpin negara yang kemudian ditambah lagi dengan hebaran cerita serta pendakwaan berkaitan kes liwat terhadapnya.

Sejak tersingkirnya Anwar pada 1998 itu, Hamzah terus melonjak dalam politik sehingga berjaya menjadi menteri, walaupun beliau bukanlah pemimpin yang menonjol sangat ketokohannya.

Apakah kali ini Hamzah sekali lagi akan muncul sebagai watak untuk menghalang Anwar?

Tetapi, jika benar maksudnya ke arah itu, mengapa Tun Mahathir tidak mahu menyerahkan jawatannya kepada Anwar, walhal ia sudah dipersetujui dalam Pakatan Harapan? Apakah kesalahan atau salah laku yang ada pada Anwar ketika ini?

Sampai bila pula Tun Mahathir mahu memegang jawatan Perdana Menteri, sedangkan usianya sudah melebihi 93 tahun dan beliau juga menyatakan hanya mahu memegang jawatan itu selama dua tahun saja?

Siapakah pilihan sebenar yang ada dalam hati Tun Mahathir yang mahu diserahkannya jawatan Perdana Menteri selepasnya?

AZMIN BAKAL PERDANA MENTERI?

“Kemasukan Ahli Parlimen UMNO ke dalam Bersatu adalah bagus kerana ia akan menjadikan Pakatan Harapan sebuah kerajaan yang lebih Melayu berbanding sebelumnya.”

“Sekurang-kurangnya dengan semakin ramai Ahli Parlimen UMNO beralih kepada Bersatu, kuasa DAP dapat diimbangi dalam Pakatan Harapan.”

“Janganlah gelabah, dengan kemasukan Ahli-Ahli Parlimen UMNO itu, Tun Mahathir Mohamad hanya bertujuan memperolehi majoriti dua pertiga dalam Parlimen supaya pindaan undang-undang ke arah kebaikan rakyat dapat dilaksanakan.”

“Kita kena percaya kepada Tun Mahathir, beliau tahu apa yang dibuatnya dan tentu untuk kebaikan negara.”

Di atas adalah hujah-hujah yang biasa kedengaran kebelakangan ini sejak seorang demi seorang Ahli Parlimen UMNO bertindak meninggalkan parti itu dan sebahagiannya telah pun diterima sebagai ahli Bersatu.

Sekali pandang, memang ternampak murni semua hujah-hujah tersebut, tetapi apakah benar setakat itu saja kewajaran dalam membawa masuk Ahli-Ahli Parlimen UMNO menyertai Bersatu?

Benarkah juga semua hujah itu begitu penting dalam perkiraan serta pemikiran Tun Mahathir?

Apa yang dibimbangi, di sebalik semua hujah yang nampak murni itu, selain untuk mengukuhkan lagi kedudukan Perdana Menteri, ia mungkin terjajar kepada tujuan serta maksud untuk menidakkan berlakunya peralihan kuasa daripada Tun Mahathir kepada Anwar Ibrahim sebagaimana yang telah dijanji dan dipersetujui sebelum Pakatan Harapan menang PRU14 yang lalu.

Tambahan lagi, dalam banyak keadaan, meskipun Tun Mahathir selalu mengatakan beliau akan menepati janji berhubung peralihan kuasa itu, kerapkali juga kata-katanya agak tergantung, "saya mungkin jadi Perdana Menteri kurang daripada dua tahun dan mungkin juga lebih dua tahun."

Tidak pernah sama sekali Tun Mahathir berkata, "cukup-cukup dua tahun nanti saya akan serahkan jawatan Perdana Menteri ini kepada Anwar."

Dalam konteks peralihan kuasa kepada Anwar, semua sedia maklum jika beliau menjadi Perdana Menteri nanti, orang yang bakal menjadi timbalannya, baik dari segi kelayakan, pengalaman dan kekananan ialah Muhyiddin Yassin, Presiden Bersatu sekarang.

Tidak ada pemimpin lain dalam Pakatan Harapan yang lebih sesuai digandingkan dengan Anwar selain daripada Muhyiddin.

Dalam waktu yang sama, sementara ada persetujuan mengenai peralihan kuasa kepada Anwar, kecenderungan Tun Mahathir terhadap Azmin Ali, Timbalan Presiden PKR terlihat sungguh nyata sejak awal lagi.

Beliau yang sudah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor selepas PRU14 lalu dan tidak disenaraikan oleh PKR sebagai calon menteri, telah dipilih oleh Tun Mahathir untuk menjadi Menteri Hal Ehwal Ekomoni dalam kabinetnya.

Dengan jawatan tersebut, Azmin bukan saja menjadi antara menteri yang menguasai kementerian paling kanan dalam kerajaan, bahkan seterusnya dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Khazanah, badan pelaburan utama kerajaan bersama Tun Mahathir selaku Pengerusinya.

Dengan yang demikian, ia menyebabkan berlegar cakap-cakap dan andaian bahawa Tun Mahathir lebih cenderung mahukan Azmin sebagai penggantinya berbanding Anwar.

Cakap-cakap dan andaian itu mungkin segera berkubur jika Tun Mahathir berani bertegas menyatakan, "cukup dua tahun saya akan berundur dan menyerahkan jawatan itu kepada Anwar."

Namun, ia tidak pernah sesekali dilakukan Tun Mahathir, malah di sebalik ayat, "mungkin kurang dua tahun dan mungkin lebih dua tahun" menjadi Perdana Menteri, beliau ternampak cuba mengukuhkan kedudukannya melalui sokongan Ahli-Ahli Parlimen UMNO yang melompat parti.

Kalaulah berlaku sekali lagi episod Anwar diketepikan sebagai pengganti Perdana Menteri di mana kali pertama terjadi ketika dalam UMNO dahulu, yang akan turut "terbunuh" bersamanya tentu saja ialah Muhyiddin.

"Membunuh" karier politik Anwar, tidak dapat tidak, akan menyebabkan Muhyiddin "terbunuh" sama masa depannya.

Muhyiddin bukan saja tidak ternampak ada kecenderungan dalam hati Tun Mahathir untuk diletakkan sebagai penggantinya, bahkan jika Azmin yang menjadi Perdana Menteri, tidak mungkin beliau akan melantik Presiden Bersatu itu sebagai timbalannya.

Siapa pilihan Azmin sebagai timbalan jika beliau menjadi Perdana Menteri?

Sumber: 1 | 2

Saturday, 4 August 2018

'Orang Kristian Sudah Ambil Alih Putrajaya'


Pada malam terakhir kempen pilihan raya kecil (PRK) Sungai Kandis, Anggota Parlimen Pasir Salak Datuk Tajuddin Abdul Rahman memberi amaran kepada pengundi di kawasan itu mengenai pemimpin Kristian dalam kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Bercakap kepada sekumpulan pengundi Melayu di Kampung Jawa malam ini, beliau merujuk kepada video tular yang menunjukkan paderi Kristian meraikan kemenangan HARAPAN pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu.

"Orang Kristian sudah mengambil alih, take over kuasa Putrajaya dan negeri-negeri yang saya sebut tadi. Betul memang betul.

"Sekarang ini menteri-menteri, tengok. Lim Guan Eng tu Kristian, Anthony Loke Kristian, Tony Pua Kristian, Hannah Yeoh Kristian.

"Teresa Kok - Khalid Samad marah apabila saya kata Teresa Kok ini satu-satu perempuan yang ada 'kok'," katanya disambut gelak ketawa orang ramai.

Tajuddin mendakwa ahli-ahli politik DAP berkenaan menggunakan kedudukan mereka dalam kerajaan untuk mengembangkan ajaran Kristian.

"Nama-nama yang saya sebut ini mereka ini pengembang agama Kristian. Mereka ini pengembang agama Kristian.

"Kita kena waspada. Dalam dia berpolitik, dia menggunakan platform politik untuk mengembang, menyebar agama Kristian," dakwanya.

Lim merupakan menteri kewangan manakala Loke dilantik sebagai Menteri Pengangkutan dalam kabinet perdana menteri, Tun Dr Maahthir Mohamad.

Pua pula merupakan pegawai khas di kementerian kewangan, manakala Yeoh merupakan timbalan menteri wanita, keluarga dan pembangunan masyarakat. Kok pula dilantik mengetuai kementerian industri utama.

Ahli politik Umno itu juga mendakwa DAP berkuasa dalam HARAPAN dan di sebalik keputusan dibuat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau juga menjangkakan DAP suatu hari nanti akan berusaha untuk menghapuskan raja-raja Melayu dan menjadikan Malaysia sebuah republik.

"Jangka panjang, tuan-tuan, puan-puan ini penting ni.

"Beberapa hari nanti kalau boleh mereka nak hapuskan raja-raja Melayu.

"Mereka nak tubuhkan satu sistem pemerintahan seperti Singapore, tak ada raja tak ada sultan, tak ada Yang di-Pertuan Agong.

"Sistem republik - iaitu ketua negara terdiri daripada siapa sahaja - boleh jadi Melayu, Cina, India," dakwanya. - Malaysiakini

Wednesday, 7 March 2018

Gabungan Sabah Tanding Semua Kerusi Dalam PRU14.


KOTA KINABALU: Gabungan Sabah (USA) iaitu pakatan parti pembangkang tempatan akan bertanding di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan kerusi Parlimen di negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Pengerusi USA, Datuk Mohd Noor Mansoor berkata 90 peratus pengagihan kerusi telah dimuktamadkan atas dasar konsensus keempat-empat parti gabungan itu manakala baki 10 peratus kerusi akan diputuskan kemudian.

“Kami akan melihat baki setiap kerusi dan memutuskan parti mana berada dalam kedudukan baik untuk mencabar sesuatu kerusi tersebut,” kata bekas menteri kewangan Sabah itu selepas Konvensyen USA, di sini.

Gabungan Sabah menyatukan empat parti Sabah - Solidariti Tanah Airku (Star), Parti Progresif Sabah (SAPP), Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) dan Parti Harapan Rakyat Sabah.

Mohd Noor berkata pakatan pembangkang itu akan menampilkan ramai calon muda dan wanita pada PRU14 akan datang.

Loading...

Tuesday, 20 February 2018

Bilionair Didakwa Sedia Biayai PPBM.


KUALA LUMPUR: Tindakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad merayu sumbangan kewangan daripada orang ramai menerusi satu klip video dipersoal berikutan terdapat tokoh korporat tempatan berstatus bi­lionair didakwa sedia membantu parti itu.

Bekas Setiausaha Kerja PPBM, Kamarul Azman Habibur Rahman mendakwa, beliau tahu bahawa terdapat pihak tertentu yang diminta memberikan sumbangan, malah Dr. Mahathir sendiri pernah berjanji akan mendapatkan dana kewangan untuk PPBM.

“Kemudian Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu perbincangan ada memberitahu saya tentang tokoh bilionair tempatan yang cukup dikenali ramai bersedia untuk menyumbangkan dana kewangan kepada parti.

“Tokoh korporat itu tergolong dalam kelompok individu terkaya di negara ini. Jadi mana mungkin PPBM berada dalam kesempitan kewangan sehingga perlu Dr. Mahathir merayu kepada orang ramai untuk menderma kepada parti tersebut?” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Dr. Mahathir muncul dalam satu klip video merayu orang ramai supaya menghulurkan derma kepada PPBM bagi meneruskan perjuangan.

Tambah Kamarul Azman lagi, selang beberapa hari selepas perbincangan bersama Muhyiddin, beliau dimaklumkan Ahli Parlimen Pagoh itu ada ke luar negara dan difahamkan bagi berbincang dengan pihak-pihak tertentu berkaitan dana politik PPBM.

“Kemudian sewaktu mesyua­rat Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM, saya ada bertanyakan berkenaan kewangan parti kerana pada waktu itu sukar untuk menjalankan program kerana tidak diberikan peruntukan sewajarnya. Saya tahu pada waktu itu PPBM bukanlah dalam keadaan susah dari segi kewangan.

“Setiap kali sewaktu membincangkan agenda kewangan, Muhyiddin ada menegaskan bahawa kedudukan kewangan parti itu adalah urusannya dan Bendahari Agung PPBM, Datuk Mohamed Salleh Bajuri. Orang lain tidak boleh mempersoalkannya,” katanya.

“Justeru, sikap Muhyiddin yang cuba menyembunyikan kedudukan kewangan parti dilihat jelas bertentangan dengan prinsip parti yang kononnya te­lus dalam urusan pentadbiran,” ujarnya.

Sementara itu, bekas Naib Presiden PPBM, Datuk Hamidah Osman berkata, rayuan derma oleh Mahathir dilihat tidak mempunyai kewajarannya kerana ya­kin bekas Perdana Menteri tersebut mempunyai sumber-sumber tersendiri yang boleh membantu dalam mendapatkan dana kewangan bagi PPBM.

“Sewaktu awal penubuhan PPBM, ada terdengar rungutan daripada ahli-ahli tentang masalah kewangan parti, namun Dr. Mahathir memberi keyakinan kepada kami bahawa ada individu yang sedia memberikan sumbangan kepada PPBM.

“Saya dimaklumkan bahawa individu tersebut merupakan tokoh korporat yang cukup ter­kenal. Jadi di sini saya ingin persoalkan, di mana pergi bantuan dana kewangan yang disalurkan oleh individu tersebut?” soalnya. -Utusan Online

Sunday, 11 February 2018

Dr M Kena Terima Keputusan Penarikan Darjah Kebesaran, Jangan Pertikai Istana.


Semua pihak digesa menerima dengan terbuka keputusan Sultan Muhammad V menarik balik darjah kebesaran Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad; Naib Presiden PAN, Husam Musa dan Pengerusi PAN Kelantan, Wan Abd. Rahim Wan Abdullah.

Ketua Pemuda Pas Negeri Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari berkata, keputusan itu adalah hak mutlak Sultan serta Istana Kelantan dan tidak harus dikaitkan dengan Kerajaan Pas Kelantan.

Justeru, katanya, jika ada mana-mana pihak yang mendakwa keputusan dibuat atas nasihat Kerajaan Pas Kelantan maka mereka sebenarnya telah menghina Sultan dan pihak istana.

“Pihak istana boleh beri dan tarik balik anugerah bila-bila masa sahaja tanpa sebarang alasan.

“Komen-komen yang mengatakan ada nasihat daripada Kerajaan Pas Kelantan adalah tidak betul kerana bukan kerja kita untuk memberi nasihat.

“Istana bertindak atas pertimbangan sendiri dan pihak yang menuduh sebaliknya sebenarnya telah menghina Istana kerana seolah-olah mendakwa Istana mengambil pandangan sebelah pihak dan bertindak atas pertimbangan politik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah di hadapan Pejabat Perhubungan Pas negeri Kelantan pada Jumaat, 9 Februari 2018.

Terdahulu terdapat beberapa pihak yang merupakan penyokong kuat PPBM dan PAN cuba menyalahkan sesetengah pihak berkaitan perkara berkenaan.

Menurut mereka, pihak Istana tidak sewajarnya untuk membuat penarikan darjah kebesaran berkenaan, lebih-lebih lagi daripada Pengerusi Pakatan Harapan iaitu Mahathir yang mereka anggap sebagai seorang pemimpin yang paling banyak jasanya kepada negara.

Bagaimanapun tindakan menarik balik pengurniaan pingat ini bukanlah suatu perkara yang dibuat berlandaskan ideologi politik, memandangkan pihak Istana tidak memihak kepada mana-mana parti politik.

Apabila pihak Istana sudah enggan memberi darjah kebesaran dan kemuliaan kepada seseorang itu, maka ia membawa erti pasti ada yang tidak kena kepada mereka yang menerima nasib berkenaan. -TV14