Setelah 11 tahun berkahwin, anak Datin Rosmah Mansor dan suaminya akan naik pelamin sekali lagi pada November ini.
Menantunya Datuk Fazley Yaakob berbuat demikian bagi meraikan keluarga dan rakan yang tidak sempat hadir pada 2007, lapor mStar Online.
“Insya-Allah perancangannya bulan November depan kerana kami bernikah pada 7 November, mungkin dalam minggu itu.
“Persiapan sudah dirancang atas kertas cuma belum secara fizikal.
“Tapi ia bergantung juga kepada jadual saya dan isteri serta selesaikan urusan anak-anak dulu,” kata penyanyi dan cef selebriti itu.
Perkahwinan Datin Azrene Soraya Abdul Aziz, anak daripada suami pertama Rosmah, dilaporkan tidak mendapat restu wanita tersebut.
Dalam beberapa isu politik nasional kemudiannya, Azrene juga pernah mengkritik secara terbuka Rosmah dan abangnya Riza Abdul Aziz.
Isteri bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan anak lelakinya itu sering dikaitkan dengan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Kedua-duanya disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Bercakap kepada portal itu, Fazley juga mendedahkan majlis persandingan nanti untuk meraikan pengamal media yang tidak dapat hadir dulu.
“Dulu saya jemput 100 orang media ke majlis itu tapi lapan orang sahaja yang datang, malah ada yang datang itu diberhentikan kerja,” katanya.
Majlis itu juga janji yang pernah dibuat pada arwah bapanya Datuk Yaakob Mohammad, tambahnya, yang meninggal dua tahun lalu.
Pernah dilantik senator pada 2002, Yaakob juga bekas pegawai kerajaan yang dilantik setiausaha kerja Barisan Nasional antara 1991 hingga 2009.
Fazley dan Azrene dikurniakan empat cahaya mata, yang berusia antara tujuh bulan hingga sembilan tahun.
Sumber
EmoticonEmoticon